Resepi Roti Canai Lembut Sedap

Cara membuat roti canai lembut dan sedap. Roti canai (dan nasi lemak) merupakan sarapan pagi satu Malaysia. Popular di seluruh Malaysia oleh semua kaum dan peringkat umur. Roti canai boleh di dapati di kebanyakan restoran dan gerai yang menyediakan sarapan pagi.

Tetapi jika anda berminat untuk buat sendiri roti canai di rumah, berikut kami kongsikan resepi roti canai lembut sukatan cawan.


Resipi Roti Canai

Masa persediaan: 30 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 20 biji

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat roti canai.

  • 1 kg (8 cawan) tepung gandum
  • 2 cawan air
  • 1 sudu besar gula
  • ½ sudu besar garam
  • 2 sudu besar susu pekat manis
  • 1 biji telur ayam gred A
  • 1 sudu besar marjerin

roti canai lembut rangup gebu

Roti canai cicah kuah kari untuk sarapan pagi


Cara Membuat Roti Canai

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan roti canai.

  1. Campurkan air, telur, susu, gula dan garam. Kacau sehingga larut dan sebati.
  2. Masukkan tepung dalam mangkuk besar. Tuangkan campuran di atas ke dalam tepung. Gaul sehingga sebati dan uli sehinga menjadi doh yang tak melekit.
  3. Rehatkan selama 30 minit, kemudian tumbuk buang angin dan uli sekejap.
  4. Bentukkan doh bulat-bulat sebesar bawang besar. Hasilkan lebihkurang 20 biji doh.
  5. Salutkan setiap biji doh dengan marjerin dan susun di dalam bekas yang telah di sapukan marjerin. (Kalau tiada marjerin, boleh rendankan doh dalam minyak). Perapkan selama 3-4 jam.
  6. Letak sebiji doh di atas talam besar yang telah di sapukan minyak. Tekan-tekan dengan tapak tangan supaya ia menjadi leper sebesar piring. Rehatkan dalam 4-5 minit supaya ia tak kecut bila ditarik. Kemudian tebar dan regangkannya dengan menarik keluar hujung doh perlahan-lahan. Bila ia cukup nipis, lipat empat arah untuk membentuk segi empat sama.
  7. Panaskan ceper/kuali dengan api sederhana dan letaklah sedikit minyak. Goreng sehingga sehingga kedua-dua belah berwarna keperangan. Untuk roti canai yang lebih garing dan rangup, renjis-renjiskan minyak di atas roti semasa menggoreng.
  8. Setelah masak angkat dan hempuk roti supaya fluffy dan gebu.
  9. Sedia untuk dihidang.


Roti Canai Frozen

Roti canai boleh disejuk bekukan. Berikut adalah langkah-langkah membuat roti canai fozen.

  1. Gorengkan sekejap, sehingga separa masak. Kemudian angkat dan biarkan sejuk.
  2. Masukkan ke dalam plastik kedap udara dan simpan dalam ruang freezer peti sejuk.
  3. Bila nak makan, ambil dari peti sejuk, nyah beku sekejap dan goreng.


Cadangan Hidangan

Roti canai sedap dinikmati panas-panas dengan kuah kari, kuah dhal, sambal bilis, susu pekat manis atau gula.

Roti canai kaya dengan lemak dan kalori. Makan sekali-sekala boleh, jangan makan tiap-tiap hari sudah.

arrow_upward