Pasta Goreng dengan Brokoli

Pasta goreng dengan brokoli. Pasta goreng ringkas macam ni memang kegemaran kami sekeluarga. Makan nasi hari-hari memang jemu, jadi sekali sekala bolehlah cuba masak mee atau pasta. Kali ini kita cuba masak pasta penne goreng dengan sayur brokoli, ditambah sotong dan udang. Bagi yang meminati pasta bolehlah cuba resipi mudah dan cepat ini.

Berikut dikongsikan cara memasak pasta penne goreng dengan brokoli. Penne boleh diganti dengan pasta jenis pendek yang lain seperti makaroni, elbow, spiral atau bow tie.


Resipi Pasta Goreng Brokoli

Masa persediaan: 5 minit ♦ Masa memasak: 15 minit ♦ Hidangan: 3 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak pasta goreng brokoli. Resipi ini tidak menggunakan tomato.

  • 250 gm (½ paket) pasta penne
  • 100 gm brokoli
  • 6 ekor udang
  • 3 ekor sotong
  • 1 biji bawang besar
  • 4 ulas bawang putih
  • 4 biji cili padi - optional
  • ½ kiub ayam Maggi
  • 2 sudu besar kicap masin
  • Sedikit air asam jawa
  • 3 sudu besar minyak masak
  • 2 sudu besar garam (untuk merebus pasta)


Persediaan Bahan-bahan

  • Cencang bawang putih dan bawang besar. Potong kecil cili padi.
  • Potong sayur brokoli.
  • Bersihkan dan potong bulat sotong. Bersihkan udang.

makaroni goreng dengan brokoli

Penne dengan brokoli, udang dan sotong ... sedap


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah menyediakan penne goreng brokoli.

  1. Masak penne sehingga al-dente, angkat dan tuskan. (Rujuk cara merebus pasta). Jangan buang air rebusan. Simpan dulu untuk digunakan kemudian.
  2. Tumiskan bawang putih, bawang besar dan cili padi dalam kuali non-stick besar dengan api sederhana hingga naik bau.
  3. Masukkan sotong dan udang. Kacau.
  4. Bila udang kemerahan, masukkan sesuku cawan air rebusan pasta, kicap, air asam jawa, kiub ayam dan brokoli. Perasakan dengan gula/ sebuk perasa dan garam jika perlu.
  5. Besarkan api dan kacau dalam seminit.
  6. Kemudian masukkan penne. Kacau rata sehingga kering dan penne mula berkerak.
  7. Matikan api, angkat dan hidangkan.


Cadangan Hidangan

Taburkan serbuk lada hitam, chilli flakes atau parutan keju sebelum makan.

Selamat mencuba resepi pasta goreng brokoli. Mudah dan cepat disediakan dan boleh tahan sedapnya.

arrow_upward