Resepi Kuih Lopes

Resepi kuih lopes. Lopes merupakan kuih tradisi yang popular terutama di bulan Ramadan. Terdapat pelbagai versi kuih lopes dan bermacam cara memasaknya. Kuih lopes tiga segi direbus macam masak ketupat (cara tradisional), ada kuih lopes yang direbus kemudian dikukus, ada yang dikukus sepenuhnya, dan ada juga cara mudah dan cepat yang menggunakan rice cooker macam masak nasi.

kuih lopes

Kuih lopes, sedia untuk dimakan

Yang pasti, cara memasak kuih lopes tak berapa penting, yang penting ialah hasilnya – kuih lopes hendaklah ada rasa lemak, teksturnya sedikit kenyal dan baunya wangi dengan aroma daun pisang dan pandan.

Berikut kami kongsikan resepi kuih lopes versi kukus sepenuhnya yang mudah.


Resipi Kuih Lopes

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 50 minit ♦ Hidangan: 4 orang


BAHAN-BAHAN

Berilkut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat kuih lopes.


⦿ Bahan-bahan Kuih
  • 2 cawan beras pulut susu
  • 2 cawan santan cair
  • 3 helai daun pandan
  • 1/2 sudu kecil air kapur makan – untuk memejalkan pulut
  • 1/2 sudu kecil garam
  • Sedikit pewarna hijau epal
  • 200 gm kelapa muda parut
  • Beberapa helai daun pisang
  • Tali untuk mengikat

⦿ Bahan-bahan Air Gula Melaka
  • 2 keping / 1 ketul gula melaka
  • 1 cawan air
  • 2 helai daun pandan - carikkan dan simpul


CARA MEMBUAT

Berikut adalah cara menyediakan kuih dan air gula Melaka untuk kuih lopes.


Kuih

Langkah-langkah untuk memasak kuih:

  1. Kisar tiga helai daun pandan dengan 1/2 cawan air. Tapis untuk dapatkan jus pandan.
  2. Rendam pulut bersama air kapur selama 1 jam atau sehingga beras kembang.
  3. Tuskan beras pulut dan masukkan ke dalam loyang pengukus. Kemudian masukkan santan, garam dan air pandan. Gaul rata.
  4. Kukus dalam 20 minit.
  5. Potong daun pisang kepada bentuk empat segi panjang kemudian layur atas api sekejap untuk melembutkannya. Lapkan dengan kain bersih.
  6. Bubuh pulut yang telah dikukus atas daun pisang dan gulungkan dengan kemas menjadi bentuk silinder. Ikat kedua-dua hujung dengan tali. Buat beberapa ketul sehingga habis pulut.
  7. Susun di dalam pengukus dan kukus lagi selama 30 minit..
  8. Angkat dan biarkan sejuk.
  9. Penyediaan kelapa parut - gaulkan dengan sedikit garam halus supaya ada rasa masin-masin sedikit. Kalau nak kelapa parut tahan lama / tak mudah basi, kukus dulu 10 minit sebelum gaul dengan garam. Kemudian angkat dan sejukkan.
  10. Potong kuih kepada kepingan-kepingan setebal setengah inci dan gaulkan dengan kelapa parut.


Air Gula Melaka

Langkah-langkah untuk menyediakan air/sirap gula Melaka untuk kuih lopes:

  1. Satukan gula Melaka yang diracik, air dan daun pandan di dalam periuk.
  2. Masak sehingga pekat, kemudian angkat, tapis dan sejukkan.


Cara Hidangan

Kuih lopes sedap dimakan sejuk. Letak potongan kuih yang telah digaul dengan kelapa parut hijau di dalam pinggan. Curahkan air gula Melaka ke atas kuih bila nak makan.