Resepi Apam Bakar Kelantan
Resipi apam bakar Kelantan (tepung apam) sukatan cawan. Kuih apam bakar merupakan kuih bakar tradisional Kelantan yang dibuat menggunakan tepung beras. Teksturnya lembut dan rupanya macam pancake biasa, tapi rasanya lain dari yang lain – ia manis dan sedikit spicy, dan baunya wangi.
Kerana kandungan rempahnya, kuih apam sesuai untuk ibu-ibu yang masih dalam pantang. Ia enak dimakan bersama kelapa muda yang di parut yang lemak dan sedikit masin.
Berikut kami kongsikan resipi apam bakar lembut dan gebu sukatan cawan. Kalau tiada tepung beras, boleh cuba Apam Puteri Ayu yang menggunakan tepung gandum sepenuhnya.
Resipi Apam Bakar Kelantan
Bahan-bahan
Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi apam bakar Kelantan.
- 3 cawan tepung beras
- 5 biji pisang emas
- 4 ketul tapai ubi
- ¾ cawan gula pasir (manis ikut citarasa anda)
- 1 sudu kecil lada hitam
- ½ inci halia
- 2 biji bawang merah kecil
- 250 ml air
- ¼ sudu kecil garam
- 2 sudu kecil yis
- 1 cawan kelapa muda parut (digaul dengan secubit garam; kalau nak lambat basi, kukus dulu dalam 5 minit)
- Minyak masak untuk sapuan
Cara Memasak
Berikut adalah langkah-langkah memasak apam bakar lembut gebu.
- Kisar lada hitam, halia dan bawang merah dengan 250 ml air. Kemudian tapis, ambil airnya sahaja.
- Bancuh yis ke dalam air tapisan dan biarkan 10 minit sehingga berbuih.
- Kupas pisang dan buang empulur tapai ubi. Masukkan ke dalam blender bersama garam, gula dan air yis tadi.
- Kisar sehingga hancur. Kemudian masukkan tepung beras dan kisar lagi sehingga adunan sebati, licin dan tidak berketul. Adunan hendaklah sedikit cair dan licin seperti adunan roti jala, penkek atau kuih ketayap.
- Biarkan adunan selama 2-3 jam pada suhu bilik sehingga ia menjadi ringan dan berbuih.
- Panaskan kuali nonstick dengan api kecil dan sapukan dengan minyak.
- Bila minyak panas, masukkan 1 senduk adunan ke dalam kuali. Masak selama 2-3 minit sehingga bahagian atas apam berbuih dan kering dan bahagian bawah nampak tompok-tompok perang.
- Kemudian terbalikkan dan bakar lagi. Bila kedua-dua belah sudah masak, angkat dan keluarkan dari kuali.
- Hidangkan bersama kelapa parut.
Selamat mencuba resepi apam bakar Kelantan. Sangat sesuai dihidang dengan kopi o untuk minum petang.