Resepi Ketupat Sotong Kelantan

Resipi ketupat sotong versi Kelantan. Ketupat sotong ni adalah sejenis kuih sama seperti ketupat pulut biasa. Yang bezanya, ketupat pulut biasa kulit/pembungkusnya adalah daun kelapa atau daun palas, tapi ketupat sotong kulitnya sotong! Kuih ini popular di pantai timur (di Kelantan dan Terengganu) terutamanya pada bulan puasa.

Terdapat dua versi ketupat sotong, versi Kelantan dan versi Terengganu. Ketupat sotong Kelantan rasanya lemak manis, manakala ketupat sotong Terengganu rasanya lemak masin.

Kali ini kami ingin kongsikan resipi ketupat sotong Kelantan style, yang manis menggunakan gula Melaka.

ketupat sotong Kelantan


Bahan-bahan

Bahan untuk ketupat sotong

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak ketupat sotong.

  • 1 kg sotong segar saiz sederhana/besar
  • 1 cawan beras pulut
  • 1 kotak kecil santan pekat
  • 1/2 cawan santan cair (sedikit santan di atas dicampur air)
  • 3 helai daun pandan
  • 1/2 cm halia - dimayang (optional)
  • 2 keping nise kerek (gula melaka jenis keping bulat)
  • Pencungkil gigi
  • Garam


Cara Memasak Ketupat Sotong Cara Kelantan

Berikut adalah cara membuat ketupat sotong Kelantan style.

  1. Basuh beras pulut dan tuskan. Kemudian rendam dalam 1/2 cawan santan cair dengan secubit garam dan sehelai daun pandan yang disiat. Biarkan selama 1/2 jam.
  2. Bersihkan sotong - cabut kepala sotong, buang perut, kantung dakwat dan kulit, kemudian dan bilas.
  3. Masukkan beras pulut ke dalam badan sotong menggunakan sudu kecil. Isikan hingga separuh penuh sahaja.
  4. Kemudian sumbat semula kepala ke dalam badan sotong untuk menghalang beras daripada keluar. Sematkan dengan pencungkil gigi supaya kepala tidak tertanggal semasa memasak.
  5. Letak potongan daun pandan di dasar periuk kemudian susunkan sotong di atasnya.
  6. Masukkan separuh santan pekat, nise, secubit garam dan air hingga menutupi sotong. Kalau ada lebihan pulut, masukkan sekali.
  7. Masak dengan api sederhana kecil. Sentiasa kacau agar tidak hangus.
  8. Bila sotong masak, masukkan baki santan. Masak sehingga mendidih, kemudian tutup api.
  9. Angkat dan ketupat sotong Kelantan sudah siap untuk dihidang.