Resepi Tomyam Campur Thai

Resipi tomyam campur. Tomyam merupakan sup yang ringan, ringkas dan segar. Kalau kami makan masakan panas di luar, biasanya tomyam menjadi pilihan untuk masakan yang berkuah.  Rasanya boleh diterima  semua orang dan aromanya membuka selera.

Sebenarnya memasak sendiri tomyam taklah susah, kerana ia merupakan masakan rebus seratus peratus, tanpa perlu menumis. Bahan-bahannya pun mudah di dapati.

Berikut kami kongsikan resipi tomyam campur.


Resepi Tomyam Campur

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 4 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi tomyam campur.

  • 150 gm isi ayam
  • 8 ekor udang segar
  • 5 ekor sotong segar
  • 2 sudu besar pes tomyam / 1 ketul kiub tomyam
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 2 biji buah tomato segar
  • 100 gm bunga kobis
  • 3 batang serai
  • 1 inci lengkuas
  • 1 pokok daun ketumbar
  • 4 helai daun limau purut
  • 8 biji cili padi (kalau nak lagi pedas, letak lebih)
  • 2 biji limau nipis
  • Serbuk perasa
  • Garam dan gula secukup rasa
  • 5 cawan air


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong kecil ayam dan potong bulat sotong.
  • Bersihkan udang - belah belakang udang, tarik keluar urat hitam perlahan-lahan supaya tidak putus, bilas dan kemudian tuskan.
  • Ketuk serai, lengkuas dan bawang putih.
  • Belah empat buah tomato dan limau nipis.
  • Potong kecil bunga kobis dan cili padi, potong bulat bawang besar.

tomyam campur asli Thai sedap

Tomyam campur asli ... kombinasi rasa pedas, masam dan umami pergh


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah memasak tomyam campur.

  1. Didihkan air dalam periuk.
  2. Kemudian masukkan ayam dan masak sehingga empuk (berubah ke warna putih).
  3. Masukkan udang, sotong, kiub/pes tomyam, bawang putih, bunga kobis, cili padi, serai, bawang besar dan daun limau purut. Kacau rata dan masak dengan api sederhana.
  4. Perasakan dengan gula dan garam.
  5. Bila mendidih, masukkan tomato dan daun ketumbar. Kacau sekejap, kemudian angkat.
  6. Perah asam limau nipis sebelum dihidang.


Cadangan Hidangan

Hidangkan tomyam campur panas-panas bersama nasi putih, daging masak merah, telur dadar dan sambal belacan.

Click to go to top