Resepi Nasi Impit Sambal Kelapa

Resepi nasi impit sambal kelapa. Nasi himpit / impit / kapit sambal kelapa merupakan menu sarapan pagi tradisional di Kelantan dan Terengganu. Nasi impit dihidangkan dengan sambal kelapa, tanpa kuah kacang. Kalau di Terengganu menu ini dipanggil nasi impit sambal hitam kerana warnanya gelap kehitaman.

Berikut kami kongsikan cara membuat nasi impit sambal kelapa.


Resepi Nasi Impit Sambal Kelapa

Masa persediaan: 10 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi nasi impit sambal kelapa.

  • 200 gm beras
  • 3 liter air
  • 1 biji kelapa parut isi putih
  • 2 ekor ikan selayang / selar
  • 2 keping asam gelugor
  • 7 biji bawang merah kecil
  • 1 cm halia ditumbuk
  • 3 batang serai
  • 2 keping gula melaka / nise
  • Garam secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  • Siang ikan dan bersihkan.
  • Potong bawang dan serai, racik gula melaka kecil-kecil supaya senang ditumbuk.

nasi impit sambal kelapa

Nasi impit sambal nyior ... sambalnya lemak manis, sedap


Cara Penyediaan

Berikut adalah cara memasak nasi impit sambal kelapa.


Cara Masak Nasi Impit
  1. Basuh beras dan tuskan.
  2. Didihkan air dalam periuk, kemudian masukkan beras. Kacau sekali-sekala, biarkan beras hancur dan pekat.
  3. Tuangkan ke dalam bekas / loyang. Ratakan ketika masih panas.
  4. Letak penutup ke atas permukaan nasi. Tindih dengan objek berat (contohnya lesung) untuk memampatkan nasi.
  5. Biarkan nasi sejuk dan mengeras.

Kalau malas nak masak nasi impit cara tradisional seperti di atas, boleh jer beli pek ketupat nasi segera Nona atau Adabi.


Cara Buat Sambal Kelapa
  1. Rebus ikan dengan asam gelugor sehingga masak. Kemudian asingkan isi ikan, buang tulang.
  2. Sagai (goreng tanpa minyak) kelapa parut sehingga perang.
  3. Tumbuk kelapa goreng menggunakan lesung hingga lumat. Keluarkan dan ketepikan.
  4. Tumbuk pula serai, halia, garam dan bawang merah. Bila dah lumat masukkan gula melaka dan teruskan menumbuk. Bila  gula melaka hancur, masukkan isi ikan. Tumbuk hingga semua lumat.
  5. Gaulkan bahan-bahan ini dengan kelapa tumbuk hingga sebati.
  6. Kemudian ambil sedikit dan tumbuk perlahan sehingga semua bahan bercampur mesra. Lakukan beberapa kali sehingga semua sambal habis ditumbuk. Kalau tak mahu tumbuk, boleh kisar menggunakan blender kering sehingga separa lumat.


Cara Hidang

  1. Potong nasi impit yang sudah sejuk mengikut bentuk yang disukai.
  2. Letakkan nasi di dalam bekas hidangan. Letakkan sambal di atas nasi.
  3. Sedia untuk dinikmati.

Selamat mencuba resepi nasi impit dengan sambal kelapa. Selain dari sambal kelapa, nasi impit sedap juga kalau di makan dengan soto ayam.