Resepi Gulai Darat Daging Kelantan

Resepi gulai darat daging Kelantan. Gulai darat  sinonim dengan masyarakat Kelantan. Gulai darat daging sekali pandang nampak seakan kari daging, tapi ianya berbeza. Gulai darat menggunakan rempah khas yang tidak sama dengan rempah kari. Rasanya lebih mild – tidak pedas dan kurang berempah. Ia juga kurang berminyak kerana rempahnya tidak ditumis terlebih dahulu.

Selain daging, ayam dan ikan juga sedap dimasak gulai darat.

Memasak gulai darat memang mudah, gabung semua bahan kemudian jerang atas dapur. Berikut kami kongsikan cara memasak gulai darat daging Kelantan.


Resipi Gulai Darat Daging

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 40 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk daging masak gulai darat. Kalau nak lagi sedap, campur daging dengan sedikit daging tetel.

  • ½ kg daging lembu tempatan
  • 8 biji bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 cm lengkuas
  • 2 sudu besar biji ketumbar
  • 2 keping asam gelugor
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan santan cair
  • 2 biji kentang
  • 1 paket kecil rempah gulai darat
  • 1 sudu besar kerisik
  • 2 biji cili hijau
  • ¼ keping nise / gula melaka
  • Garam secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong daging melintang urat dan nipis-nipis supaya mudah empuk. Bersihkan, kemudian tuskan.
  • Sagai (goreng tanpa minyak) biji ketumbar.
  • Tumbuk/kisar lengkuas, bawang merah, bawang putih dan ketumbar yang telah disagai.
  • Kupas dan potong baji ubi kentang.
  • Potong atau belah dua cili hijau.

gulai darat Kelantan

Gulai darat Kelantan ... tak pedas dan sedap


Cara Memasak

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak gulai darat daging.

     
  1. Masukkan daging, bahan tumbuk dan rempah gulai darat dalam periuk dan masak sehingga air daging kering.
  2. Masukkan santan cair dan masak sehingga daging empuk. Tambah air jika mahukan lebih kuah.
  3. Kemudian masukkan santan pekat, kentang dan asam keping. Masak sehingga menggelegak.
  4. Kemudian kecilkan api, masukkan kerisik dan perasakan dengan garam dan nise. Biar mereneh sehingga kentang empuk. Kacau sekali sekala untuk elakkan hangit.
  5. Akhir sekali masukkan cili hijau, biarkan sekejap kemudian angkat.
  6. Sedia untuk dihidangkan.


Cadangan Hidangan

Gulai darat daging enak dimakan bersama nasi, pulut kuning atau dicicah roti jala.