Resepi Soto Ayam Simple

Resepi soto ayam simple. Soto ayam adalah sejenis sup ayam berempah yang dimakan dengan nasi himpit / ketupat nasi, bihun atau mi. Hidangan ini popular di Indonesia, Malaysia dan Singapura dan merupakan menu pilihan untuk jamuan di majlis dan perayaan.

Proses memasak soto ayam mudah sahaja, cuma banyak jenis bahan rempah digunakan. Itupun rempah yang biasa-biasa saja, yang lazimnya ada di dapur. Berikut adalah cara buat soto ayam yang mudah.


Resipi Soto Ayam

Masa persediaan: 25 minit ♦ Masa memasak: 30 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk soto ayam.

  • 1/2 ekor ayam
  • 1 ketul kiub ayam
  • Air secukupnya untuk merebus
  • 5 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 batang serai
  • 1/2 inci kunyit hidup
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 4 biji buah pelaga
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih
  • 1 sudu besar serbuk lada hitam
  • Garam dan gula secukup rasa
  • Minyak masak untuk menumis

Bahan-bahan lain
  • 1 paket bihun
  • 100 gram tauge
  • Cili merah
  • Bawang goreng
  • Daun sup
  • Daun bawang


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong dua ayam dan bersihkan.
  • Kisar bawang merah, bawang putih, serai dan kunyit hidup.
  • Hiris daun sup, daun bawang dan cili merah.
  • Celur bihun sehingga lembut, kemudian tuskan.

soto ayam Malaysia paling sedap

Soto ayam bihun ... lagi ummph kalau ada sambal kicap


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah untuk memasak soto ayam.

  1. Untuk membuat kuah soto, masukkan air secukupnya di dalam periuk. Masukkan ayam dan kiub ayam, rebus hingga ayam masak. Ketepikan.
  2. Dalam periuk lain, tumis bahan-bahan yang dikisar iaitu bawang merah, bawang putih, serai dan kunyit hidup sehingga wangi.
  3. Masukkan bunga lawang, kulit kayu manis, kuntum bunga cengkih, buah pelaga, jintan manis, jintan putih dan serbuk lada hitam. Kacau sebati.
  4. Kemudian masukkan kesemua air rebusan ayam tadi. Asingkan dan tuskan ayamnya.
  5. Biarkan ia mendidih dan perasakan dengan garam dan gula. Ketepikan.
  6. Ambil ayam yang direbus tadi dan goreng sehingga kekuningan. Angkat dan tuskan. Bila sejuk, carik-carikkan isinya.


Cadangan Hidangan

Letakkan bihun yang dicelur di dalam mangkuk dan tuangkan kuah soto. Kemudian letakkan cebisan ayam dan tauge. Tambah bahan topping lain ikut suka - bawang goreng, cili merah, daun sup dan daun bawang. Sedia dinikmati.

Soto ayam sedap juga dimakan dengan nasi impit atau mee kuning.

arrow_upward