Resepi Kurma Ayam Kampung

Resepi kurma ayam kampung. Ayam kampung lebih menyihatkan kerana ia kurang lemak dan bebas suntikan hormon. Walaupun daging ayam kampung sedikit liat berbanding ayam daging, namun rasanya lebih sedap dan manis.

Antara menu ayam kampung yang popular ialah gulai ayam kampung, kari ayam kampung, sup ayam kampung dan kurma ayam kampung.

Berikut kami kongsikan resipi kurma ayam kampung untuk anda cuba masak sendiri. Masakan ini sesuai dihidangkan dengan aneka jenis nasi dan juga roti.


Resepi Kurma Ayam Kampung

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 35 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi ayam kampung masak kurma.

  • 1 ekor ayam kampung
  • 3 sudu besar atau 1 paket kecil rempah kurma
  • 1 cawan santan cair
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 inci halia
  • 6 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang besar
  • 3 biji ubi kentang
  • 2 biji cili hijau/merah segar
  • Air asam jawa
  • 5 sudu besar minyak masak untuk menumis
  • Gula/gula melaka dan garam secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong ayam sederhana mengikut saiz yang diingini dan bersihkan. Kemudian tuskan.
  • Bancuhkan serbuk rempah kurma dengan sedikit air supaya menjadi pes.
  • Tumbuk atau hiris bawang merah dan bawang putih.
  • Mayang halia, belah empat bawang besar, potong atau belah dua cili segar.

kurma ayam kampung sedap


Cara Memasak Kurma Ayam Kampung

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan kurma ayam kampung.

  1. Masukkan minyak masak ke dalam periuk dan panaskan dengan api yang sederhana.
  2. Masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang ditumbuk/hiris dan tumis sehingga naik bau dan kekuningan.
  3. Kemudian masukkan pes kurma, kacau sehingga rempah garing, naik bau dan pecah minyak.
  4. Selepas itu masukkan ayam, tambah sedikit air dan kacau. Tutup periuk sehingga ayam kecut.
  5. Setelah ayam kecut dan airnya kering, masukkan santan cair dan bawang besar. Tambah air jika ingin kuah lebih.
  6. Bila ayam dah sentengah masak, masukkan kentang.
  7. Masak sehingga ayam dan kentang empuk.
  8. Kemudian kecilkan api, masukkan santan pekat, potongan cili, gula melaka, air asam jawa dan garam secukup rasa.
  9. Kacau sehingga mendidih dan kuah terbit minyak.
  10. Padamkan api dapur, angkat dan sedia untuk dihidang.


Cadangan Hidangan

Kari ayam kampung sedap dinikmati bersama nasi putih, nasi tomato atau nasi minyak. Boleh juga dihidangan dengan roti putih atau roti canai.