Udang Masak Lemak Cili Api

Resipi udang masak lemak cili api Negeri Sembilan. Udang masak lemak cili api ini untuk mereka yang suka masakan pedas. Memasak gulai lemak cili api ni mudah dan cepat. Resipi ini tidak perlu menumis, sama macam gulai udang Kelantan.

Berikut kami kongsikan resipi udang masak lemak cili api dengan belimbing buluh.


Resipi Udang Masak Lemak Cili Api

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 10 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resepi masak lemak cili api udang.

  • ½ kg udang saiz sederhana
  • 15 biji cili api/padi (kurangkan/tambah ikut suka)
  • 3 biji bawang merah
  • 1 cawan santan pekat (atau 1 kotak kecil santan)
  • 1 inci kunyit hidup
  • 1 batang serai
  • 5 batang kacang panjang
  • 1 helai daun kunyit
  • 1 keping asam gelugor
  • 10 biji belimbing buluh - opsyenal
  • 2 cawan air
  • Garam dan gula


Persediaan Bahan-bahan

  • Bersihkan udang kemudian tuskan.
  • Tumbuk atau kisar campuran cili api, bawang merah dan kunyit hidup hingga lumat.
  • Ketuk serai, potong kacang panjang, belah dua belimbing buluh dan hiris daun kunyit.

udang masak lemak cili api pedas sedap

Udang masak lemak cili api, kombinasi manis udang + pedas cili padi + masam belimbing buluh ... sedap


Cara Memasak

Berikut adalah cara menyediakan udang masak lemak cili padi.

  1. Masukkan separuh santan, air, asam gelugor, bahan kisar/tumbuk dan serai yang telah dititik ke dalam periuk.
  2. Masak dengan api perlahan sehingga mendidih, sambil mengacau supaya santan tidak berketul dan pecah minyak. Tambah air jika nak kuah lebih.
  3. Masukkan udang, kacang panjang, belimbing buluh dan daun kunyit. Teruskan mengacau.
  4. Bila warna udang bertukar kemerahan (sekitar 4 minit untuk udang saiz sederhana), masukkan baki santan.
  5. Perasakan dengan garam dan gula.
  6. Bila kuah mendidih, padamkan api, angkat dan hidangkan.


Tips/Petua

Jangan masak udang terlalu lama. Kalau terlebih masak, udang akan menjadi liat dan hilang manisnya.

Click to go to top