Resepi Sambal Bilis Kering Rangup

Cara buat sambal ikan bilis kering yang rangup. Kalau sambal ikan bilis basah sedap dimakan dengan nasi lemak, sambal ikan bilis kering pula sedap dibuat lauk tambahan apabila kurang selera makan.

Bila masuk bulan puasa biasanya kami beli serunding daging dan masak sambal bilis kering untuk buat stok untuk makan sahur. Kedua-dua sambal kering ini tahan lama, boleh disimpan pada suhu bilik dan tak perlu dipanaskan bila nak makan.

Berikut kami kongsikan resipi sambal ikan bilis kering yang sedap, garing, rangup dan tahan lama.


Resepi Sambal Ikan Bilis Garing Rangup

Masa persediaan: 15 minit ♦ Masa memasak: 40 minit ♦ Hidangan: 5 cawan


Bahan-bahan

Senarai bahan-bahan untuk membuat sambal ikan bilis rangup. Kalau anda suka sambal yang pedas boleh masukkan cili api.

  • 3 cawan ikan bilis yang telah dikopek
  • 1 cawan kacang tanah
  • 20 biji cili kering
  • ½ cawan minyak masak
  • 7 biji bawang merah kecil
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 cm halia
  • 4 sudu besar gula
  • Sedikit air asam jawa
  • Garam secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  1. Bilas ikan bilis, tuskan, kemudian keringkan dengan paper towel.
  2. Potong cili kering, buang biji dan rebus atau rendamkan dalam air panas hingga kembang. Kemudian kisar bersama halia, bawang merah, bawang putih dan sedikit air.

sambal bilis kering rangup

Sambal ikan bilis sira ... pedas, manis dan crispy


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah membuat sambal sira ikan bilis dengan kacang.

  1. Goreng kacang tanah dengan api sederhana kecil sehingga kekuningan (4 minit). Keluarkan kacang tanah, lepas tu terus gaulkan dengan sedikit garam.
  2. Besarkan api. Bila minyak mula berasap masukkan ikan bilis. Goreng sehingga perang keemasan, kemudian kecilkan api, angkat dan tuskan.
  3. Keluarkan minyak di dalam kuali, gantikan dengan minyak yang baharu untuk menumis. Masukkan bahan kisar dan tumis menggunakan api kecil.
  4. Bila tumisan garing dan pecah minyak, masukkan gula dan teruskan menumis sehingga sambal berwarna merah gelap dan berkilat.
  5. Masukkan garam (jika perlu sahaja, sebab biasanya ikan bilis dah cukup masin) dan air asam jawa. Kacau sehingga sambal agak pekat, kemudian pindahkan ke dalam mangkuk.
  6. Masukkan 3 sudu besar gula ke dalam kuali. Bila gula mencair, masukkan ikan bilis dan kacang goreng. Kacau rata untuk menyira kacang dan ikan bilis dengan sekata.
  7. Tutup api dan masukkan sambal. Gaul rata sehingga keseluruhan kacang dan ikan bilis disaluti sambal.
  8. Bila sejuk sepenuhnya, masukkan sambal ikan bilis ke dalam bekas kedap udara.
  9. Simpan pada suhu bilik atau di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama.


Tip

Untuk kekal rangup, pastikan ikan bilis betul-betul kering sebelum digoreng. Kalau tidak, ikan bilis akan jadi liat dan cepat lemau.


Cadangan Hidangan

Sambal kering ikan bilis dengan kacang sedap dinikmati dengan nasi putih, nasi air, nasi lemak, atau diratah begitu sahaja. Sangat sesuai dijadikan lauk segera untuk makan sahur.