Resepi Serunding Daging Kelantan

Cara buat serunding daging sedap. Serunding atau sambal daging merupakan makanan kering daripada daging lembu yang dimasak bersama rempah ratus. Rasanya lemak, manis, masin, pedas dan juga berempah.

Kalau nak dapatkan serunding Kelantan yang sedap, original dan fresh, bolehlah ke Kampung Laut, Tumpat atau ke Jalan Kubur Maras, Langgar, Kota Bharu untuk membeli terus dari pengusaha serunding. Kalau nak buat sendiri, di bawah ni kami kongsikan resepi serunding daging yang sedap dan tahan lama.

Membuat serunding daging tak complicated tapi memerlukan kesabaran kerana ia mangambil masa yang lama, terutamanya masa untuk menyiat daging dan memasak.


Resepi Serunding Daging Kelantan

Masa persediaan: 30 minit ♦ Masa memasak: 180 minit ♦ Hidangan: 12 orang


Bahan-bahan

Senarai bahan-bahan untuk membuat serunding daging.

  • 1kg daging lembu tempatan
  • 30 biji cili kering
  • 8 biji bawang merah kecil
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 cm lengkuas
  • 2 cm halia
  • 2 batang serai
  • ½ cawan biji ketumbar
  • ½ cawan jintan manis
  • 2 keping gula Melaka
  • 200ml (1 kotak kecil) santan pekat
  • Air asam jawa
  • 2 sudu besar kerisik
  • ¼ cawan minyak masak


Persediaan Bahan-bahan

  1. Potong daging lembu melintang urat setebal 2 inci. Kemudian bilas dan tuskan.
  2. Potong cili kering, buang biji dan rebus atau rendamkan dalam air panas hingga kembang.

serunding daging kg laut kelantan tahan lama azlita azie kitchen

Serunding daging ... pedas, manis, wangi dan penuh perisa


Cara Membuat

Berikut adalah langkah-langkah membuat sambal daging a.k.a serunding daging.

  1. Rebus daging dengan sehingga empuk. Ini mengambil masa 1½ - 2 jam atau ½ jam menggunakan periuk tekanan (pressure cooker). Angkat dan biarkan sejuk. Kemudian siatkan / carikkan menjadi cebisan halus.
  2. Sagai (goreng tanpa minyak) biji ketumbar dan jintan manis sehingga wangi. Kisar kering. Ketepikan.
  3. Satukan cili kering yang telah kembang, lengkuas, halia, serai, bawang merah dan bawang putih dengan sedikit air dan kisar sehingga lumat.
  4. Panaskan kuali dengan api sederhana dan masukkan minyak masak. Tumiskan bahan kisar sehingga pecah minyak.
  5. Masukkan ketumbar dan jintan manis kisar dan terus menumis sehingga wangi.
  6. Masukkan air rebusan daging, santan, jus asam jawa, gula melaka, garam dan kerisik. Masak sehingga ia terbit minyak.
  7. Kecilkan api, kemudian masukkan daging lembu yang telah dicarik dan gaul rata. Kacau perlahan-lahan tanpa henti untuk elakkan daging dari hangus. Sekiranya ada gumpalan, carikkan menggunakan garpu.
  8. Bila serunding dah betul-betul kering, angkat dan biarkan sejuk.
  9. Untuk simpan, masukkan serunding ke dalam bekas kedap udara, simpan pada suhu bilik.


Tip

Serunding perlu dimasak sehingga betul-betul kering supaya lebih sedap, tahan lama dan tidak mudah lemau.


Cadangan Hidangan

Serunding daging enak dinikmati dengan nasi putih, pulut kuning, lemang, nasi impit, laksam, atau dimakan begitu sahaja. Sangat sesuai dijadikan lauk tambahan untuk makan sahur.