Resepi Kari Ayam Kampung Sedap

Resepi kari ayam kampung. Ayam kampung lebih menyihatkan kerana ia kurang lemak dan bebas suntikan hormon. Daging ayam kampung sedikit liat berbanding ayam daging, namun rasanya lebih sedap dan manis.

Antara menu ayam kampung yang popular ialah ayam kampung goreng, gulai ayam kampung, kari ayam kampung dan sup ayam kampung.

Berikut kami kongsikan resipi kari ayam kampung untuk anda cuba masak sendiri. Masakan ini sesuai dihidangkan dengan aneka jenis nasi dan juga roti.


Resepi Kari Ayam Kampung

Masa persediaan: 20 minit ♦ Masa memasak: 35 minit ♦ Hidangan: 5 orang


Bahan-bahan

Berikut adalah bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi ayam kampung masak kari.

  • 1 ekor ayam kampung
  • 3 sudu besar atau 1 paket kecil rempah kari daging / ayam
  • 2 cawan santan
  • 2 sudu besar cili kering kisar
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • 3 biji buah pelaga
  • 1 inci lengkuas
  • 1 inci halia
  • 6 ulas bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 4 pelepah daun kari - dilurut
  • 1 sudu besar kerisik
  • 2 keping asam keping/gelugor
  • 4 sudu besar minyak masak untuk menumis
  • Gula/gula melaka dan garam secukup rasa


Persediaan Bahan-bahan

  • Potong ayam sederhana mengikut saiz yang diingini dan bersihkan. Kemudian tuskan.
  • Bancuhkan serbuk kari dengan sedikit air supaya menjadi pes.
  • Tumbuk atau hiris bawang merah dan bawang putih.
  • Titik lengkuas dan halia.

kari ayam kampung sedap


Cara Memasak Kari Ayam Kampung

Berikut adalah langkah-langkah untuk menyediakan kari ayam kampung.

  1. Masukkan minyak masak ke dalam periuk dan panaskan dengan api yang sederhana. Tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih dan buah pelaga hingga wangi.
  2. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang ditumbuk/hiris, halia, lengkuas dan daun kari. Tumis sehingga bawang wangi dan keperangan.
  3. Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sehingga garing.
  4. Kemudian masukkan pes kari, kacau rata dan teruskan menumis hingga pecah minyak.
  5. Selepas itu masukkan ayam, tambah sedikit air dan kacau. Tutup periuk sehingga ayam kecut.
  6. Setelah ayam kecut dan airnya kering, masukkan santan dan asam keping. Tambah air jika ingin kuah lebih.
  7. Masak sehingga ayam empuk.
  8. Kemudian kecilkan api, masukkan gula melaka dan garam secukup rasa. Akhir sekali masukkan kerisek.
  9. Kacau rata dan biarkan mereneh selama 5 minit atau sehingga kuah terbit minyak.
  10. Padamkan api dapur, angkat dan sedia untuk dihidang.


Cadangan Hidangan

Kari ayam kampung sedap dinikmati bersama nasi putih, nasi tomato atau nasi minyak. Boleh juga dihidangan dengan roti putih atau roti canai.

arrow_upward